Kalau anda perasan, cerita Hindustan selalu ada perkataan MOHABBAT, MOHABBATEIN dan lain-lain lagi perkataan yang kedengarannya seperti ada bau-bau bacang dengan kata MAHABBAH (perkataan Arab untuk 'CINTA').
***************************
“Kau mana main benda-benda macam ni” ucap kawanku saat kami berbual-bual tentang membuat essay SPM BI bertemakan love story. Walhal cubaan pertama aku menulis essay sedemikian melayakkan essay aku diterbit dalam majalah sekolah. Alhamdulillah. Namun, tak kunafikan, essay paling aku enjoy tulis bertemakan Naruto.
Pelbagai kemungkinan muncul dalam kepalaku selepas dia mengucapkan kata-kata itu:
1) Adakah kerana aku kurang ‘girlie’? Cincai-barai tak seperti kebanyakan kawan-kawan perempuanku yang lebih teliti?
2) Atau kerana kini, ketika aku sedang meniti hari-hari tua, aku cuba berhempas-pulas melawan amuk rasuk nafsu & syaitan untuk menjadi seorang Mu'min yang lebih baik?
Ah! Walhal bukankah seorang Mu’min sejati itulah yang seharusnya menjadi jaguh dalam berbicara soal hati, cinta & perasaan. Memetik tulisan Fathi Yakan dalam buku ‘Apa ertinya saya memeluk Islam?’:
“Saya wajib mencintai Allah dengan sebenar-benar cinta. Cinta yang menjadikan hati saya sentiasa merasa rindu dan terikat dengan-Nya. Kecintaan itu juga mendorong saya menambah amalan-amalan kebaikan, berkorban dan berjihad di jalan-Nya di sepanjang masa.”
Muhammad s.a.w. selalu kita ulang-ulang sebagai manusia terbaik, tapi sejauh mana kita luaskan kata ‘manusia’ itu sehingga merangkumi pencinta terunggul, bapa paling penyayang, teman paling rapat, atau suami paling penyayang? Aku antara orang yang sempitkan minda sehingga tak tercapai dek akal aku yang Muhammad s.a.w seorang pencinta terunggul. Dia pencinta terunggul, jauh lebih unggul dari Rahul lakonan Shah Rukh Khan (bakal bergelar Datuk tidak lama lagi) dalam cerita Hindustan yang dulu-dulu aku beriya-iya tonton.
Bayangkan, Rahul sudah berkahwin, pulang lewat malam kerana bekerja dan pintu rumah sudah dikunci isteri (yang kemungkinan besar bernama Anjali). Oleh sebab ke-gentleman-an Rahul yang tidak mahu mengejutkan isteri, Rahul sanggup tidur di luar rumah hingga pagi esok. Mungkin sebahagian besar kita (perempuan), sambil memeluk erat ‘teddy bear’ yang teman kita tonton cerita Hindustan, ulas betapa ‘sweet’, ‘cute’, ‘gentleman’ si Rahul.
Ketahuilah wahai korang! Aku pernah terbaca yang lebih kurang 1400 tahun dahulu, di sebuah kawasan yang terkenal dengan tradisinya yang menekan kaum wanita, yang betul-betul berlaku di alam reality bukan kaca TV, ada seorang suami yang buat begitu pada isterinya. (Tahu-tahulah sendiri siapa baginda. Dah banyak hint aku tulis.)
Juga, pernah kubaca dalam sebuah buku tentang seorang sahabat Nabi yang malamnya sentiasa Qiyammullail. Yang menarik tentang Qiam-nya, cuba bayangkan, dia baca Quran sambil menangis meratap-ratap ‘Kitab Tuhanku! Kata-kata Tuhanku!’. Betapa dia begitu menghargai bait-bait kalimah dalam Al-Quran.. Betapa dia benar-benar cinta akan Allah, sehingga mampu menangis begitu rupa, bukan kerana takut akan dosanya, tapi kerana itu kalimah Allah, selayak-layak zat yang patut dicintai dengan cinta yang sebenar-benarnya. Bayangkan! Bayangkan! Cemburuilah dia yang mampu cintakan Allah sebegitu rupa! Moga-moga kita sedang berusaha menjadi sepertinya, yang hati bisa bergetar dengan cinta yang mendalam dan kerinduan yang mencengkam untuk bertemu Allah.
InsyaAllah..
Wallahualam…
No comments:
Post a Comment