May 30, 2009

Selamat Pengantin Baru

A'uzu billahi minasy syaitanir rajim..
Bismillahirrahmanirrahim..

Pada kata Murabbi itu ada bunyi 'abi'!

Happy be-early-ed fathers' day kepada semua bapa-bapa di dunia!
Juga kepada bakal-bakal bapa atau
yang nak jadi bapa 5, 10 hatta 20 tahun lagi!
Jangan ingat anda selamat di 'sana' jika di sini,
anda gagal jadi murabbi buat usrah (=keluarga) sendiri!

Amaran keras ini dibawakan khas kepada anda
sempena musim cuti sekolah
dan musim kenduri kahwin!
Selamat menjadi murabbi diucapkan!

Sekian, terima kasih...

Anakmu yang soleh (insya-Allah ;P )

P/S : Langsung tiada kaitan dengan bapa sesiapa yang ingin berpoligami dan sebagainya... Hehehehe... Harap maklum! ;)

Wallahualam...

May 28, 2009

Kita Laskar Pelangi - edited

Dengan nama Allah, yang menentukan dan menjadikan,
Selawat dan salam buat dai agung - Muhammad saw, beserta para pengikutnya,
Kita pohon perlindungan Allah daripada syaitan yang membisikkan.

Pagi ini air mataku tumpah,
Bukan kerna insan, tapi kerna suatu ibrah.

Anak pesisir itu dalam Laskar Pelangi,
Punya pelangi untuk dikejari,
Punya cita untuk direalisasi,
Haus dahaganya akan ilmu melangkau infiniti.

Allah punya rancangan-Nya sendiri,
Anak pesisir terpaksa berhenti,
Tanggungjawab teriak minta dipikuli,
Segalanya dia beri termasuk cita dan pelangi.

Dalam nafas seorang pemberi,
Anak pesisir sabar tak pentingkan diri,
Masih, dia kekal laskar pelangi paling sejati!

Aku juga punya pelangi,
Ingin sekali kutinggali buku kulit tebal segala,
Ingin sekali kurapati deen Ilahi di bumi anbiya,
Ingin sekali kubasahi hati dengan ilmu bahasa syurga.

Tapi,
Pelangi bukan 'escapisme' melarikan diri,
Dari penat lelah menjalani hari-hari,
Dari tajam tusuk duri-duri realiti,
Dari berat beban tanggungjawab sana-sini.

Sentiasa tiada henti aku ini hamba-Nya,
Sentiasa tiada henti aku khalifah penyeru dunia,
Dan, buat masa ini juga, aku pelajar pemikul amanah bangsa,
Ya, aku ahli tegar taman-taman syurga,
Ya, aku usaha bentuk diri biar jadi pendukung deen-Nya,
Ya, aku ikrarkan pada jalan juang sebuah setia,
Maka seiring itu, di medan periksa aku mesti menyerlah jua,
Maka seiring itu, aku mesti usaha bagus segala!

Kita laskar pelangi sejati,
Yang punya rapinya strategi,
Ramalan cuaca hujan-cerah mesti dikuasai,
Barulah pelangi muncul untuk dikejari!

Kita laskar pelangi sejati,
Yang mengejar pelangi hakiki,
Yakni bertemu dengan-Nya kelak nanti...

Kita laskar pelangi sejati,
Diberi lemon masam, lemonade kita perahi,
Diberi Rusia, doktor murabbi kita jadi!


Selamat bermujahadah untuk semua yang zachyot, final, state exam (6th years) segala... =)
Wallahualam...

Pesan penaja :
Puisi 'Kita Laskar Pelangi' ini dicetuskan oleh Celcom, penaja bersama filem Laskar Pelangi. (klik)

Pesanan:
Ingat! Jangan jadi penyokong deen Ilahi yang hanya melihat dari tepi.
Tapi, jadilah penyokong yang turut sama terjun mengorban diri!

Khas untuk peng-edit bebas:
Huhu.. Saya termotivated tengok Laskar Pelangi sebab Pak Long cerita, sebab ada tulis dalam blog kuchinque dan kakak-kakak di sini sibuk memperkatakannya. ;)

May 26, 2009

40 + 4

Dengan nama Allah tempat tuju cinta kita,
Selawat dan salam buat kekasih-Nya, Muhammad saw beserta para pengikutnya,
Kita pohon perlindungan Allah daripada syaitan laknatullah.

Aku adalah aku, yang mesti sentiasa berani untuk berdiri walaupun seorang diri, selagi mana diri ini bersama Dia di sisi.

Darah aku menyirap! Yang di situ berdengkur. Yang di sana merengek-rengek manja dengan teman berjantina lawan. Yang di sini ketawa terkekek-kekek sambil tangan temannya lekas merayap laksana lipas.

Darah aku menyirap! Kuambil manual hidup kompakku lalu bingkas berdiri dan melangkah mengharungi tolehan manusia yang memandang aku dengan nada seakan mengejek. Kalau aku adalah aku yang dulu, pasti ku beri jari tengah atau paling kurang, 'Apa hal pandang-pandang?! Ada masalah?!'.

"Pak cik! Dah nak syuru' ni. Saya nak solat subuh ni. Ni dah masuk 7 kali saya minta pak cik berhenti ni.."

Aku cuba mengawal intonasi agar masih dalam skop kesopanan. Pemandu bas bermuka Melayu dan berperut boroi itu sekadar merengus marah dan membuat muka toya. Penumpang lain masih diulit dengkur dan tawa rengek manja.

Pergh!!! Aku menyirap!!!

Mahu sahaja aku pekikkan pada semua 'Hoi, nak masuk neraka kah?!'. Tapi, tak berhikmah pula. Terpaksa aku mengeluarkan senjata terakhir yang aku persiapkan ketika di tempat dudukku tadi.

Bismillah kubisikkan dalam hati, mohon izin pada-Nya agar benarlah tindakanku ini. Kali terakhir aku berbuat begini adalah ketika Darjah 3 sekolah agama petang.

Menurut perkiraanku, inilah masanya. Aku tarik nafas dalam-dalam, lebih dalam daripada Tok Batin yang ingin menyumpit babi hutan liar tatkala keluar berburu. Dalam geram penuh dendam, aku lepaskan segala-galanya sekuat rasa penuh tenaga! Nah! Rasakan kau!

"Yaasin! Walquranil hakiim!..... "

Tiada lagi dengkur rengek tawa manja para penumpang. Seisi bas termasuk si boroi toya itu kaget dengan kelantanganku melantunkan surah Yaasin yang sering dilagukan untuk menghantar jenazah atau menghalau hantu.

Jelas pada cermin depan bas, selekoh menuju ke R&R. Segera, si boroi toya membelok.

Lazimnya dari 44 orang penumpang, 40 akan pergi bersarapan dan hanya 4 ke surau. Tapi, pagi itu, di tempat mengambil wudhu' wanita sahaja, aku terpaksa beratur dan muka-muka yang basah diwudhukan itu, semua tak sanggup pandang muka aku. Eleh... Ingat aku tak cam ke?!

Moral of the story : Sila berhati-hati ketika naik bas ekspres di Malaysia nanti. Anda adalah Mu'min akhir zaman yang punya hak untuk tunaikan kewajipan solat! Bersama mempertahankan hak kita! Garang BERTEMPAT adalah akhlak mulia! Harap maklum...

Wallahualam...

Pheewww...

Dengan nama Allah tempat tuju cinta kita,
Selawat dan salam buat dai agung Muhammad saw beserta para pengikutnya,
Kita pohon perlindungan Allah daripada syaitan laknatullah.

Minta izin
Pheewww...
Alhamdulillah.. Tengah-tengah dok kalut exam ni lah, tersempatlah pula kita menggatalkan tangan mengemas blogroll.. Oh! Hmm.. Tengah mood mengemas benda-benda maya ni.. Kemas fail-fail mp3 lah, fail-fail itu ini lah.. Oh! Kepada siapa-siapa tuan blog yang terlibat, kami minta izin ya link-kan blog anda ke blog kami.. Kakitangan kami tak cukup untuk menaip kat chatbox minta izin.. (manusia memang dilahirkan terel memberi alasan) Cuma rajin minta izin kat tuan punya blog Sambal Terung Dari Perancis!

Jazakumullahu Khairan Kathiran
Kepada semua yang rajin mengomen, atau taip komen separuh jalan kemudian tak jadi komen, terima kasih daun keladi diucapkan. =) Kami sangat menghargai feed-back anda. <3

Sekian, wallahualam... =)

May 23, 2009

truly.the.thrill.lies.in.the.process

Dengan nama Allah - tempat tuju cinta kita,
Selawat dan salam buat kekasih-Nya, Muhammad saw serta para pengikutnya,
Kita pohon perlindungan Allah daripada syaitan laknatullah.

Ketika menulis ini, beradalah kita dalam fed-state kata buku teks tebal Biochem, dengan kadar glucose mencecah 80 mg/dL.. (betul ke? malas nak cek buku teks balik). Tiada terima kasih (no thanks) untuk mereka yang datang ke taman syurga di bilikku lalu ter-meninggal-kan ais-krim perisa beri yang diperkaya lagi dengan cebis-cebis kacang gajus! Oh! ;P

Alkisah, adalah pula pengunjung taman syurga yang kerja nya asyik dok menguis ais-krim itu menggunakan sudu besi untuk mencari harta karun bernama kacang gajus. Maka teringatlah kita akan ummi yang sememangnya hantu kacang. Kalau makan coklat ada kacang, gerenti dia makan yang part kacang, yang lebih dia kasi abi atau mana-mana anaknya yang 8 itu. Rupa-rupanya, ada juga pengunjung-pengunjung lain yang juga beribukan hantu kacang tegar seperti ummi. Oh! Dalam riang ria kami bercerita tentang kacang, ada pula cadang, beli kacang dan tabur saja dalam ais-krim, tak yah susah-susah kuis. :)

Oh! Aku cukup pantang orang buat begitu (konon-konon dalam nada marah)! Falsafah makan ku, the thrill lies in the process (minus the cooking process, ok). Arakian, biar lah kulitnya keras dan berduri, durian itulah buah tempatan yang sodap berlomak. Biarlah kulitnya keras dan ada tajam-tajam, ketam lah seafood yang sedap. Biarlah otot pipi dan mulutku lenguh kerana menyedut udara sehingga mencecah Inspiratory Capacity (IC), siput sedut masak lemak lah lauk yang memang letop bagiku!

Aku melihat bahawa prinsip pemakanan yang aku pegang sekian lama ini sebenarnya merupakan adaptasi kerdil daripada pegangan Mu'min dalam isu taqdir. Iman bi taqdir (beriman dengan taqdir). Seorang Mu'min tidak kisah akan result, tetapi kisah akan proses untuk mendapat result. Seseorang penguis kacang tidak kisah akan kuantiti atau kualiti kacang yang berjaya dikuisnya, tetapi kisah akan proses penguisannya itu.

Lebih menggembirakan,
the process is not only where the thrill lies,
but also,
the process is where Allah looks at.

Andai Allah itu melihat result, kalau orang dapat straight A1 untuk SPM, kita tak akan wish 'Tahniah', tapi kita mungkin akan wish begini:

"Pergh!! Seronoklah engkau, dapat straight A1, memang kau ni ahli syurga lah!"

Maka, dengan kedatangan final yang bertimpa-timpa buat mereka yang berada di bumi Rusia dan kawasan yang sewaktu dengannya, kami di kun-rajulan mengucapkan:

Happy processing!
May we all be enthralled and rewarded
by our effort, insya-Allah!


Sepotong ayat dari love-letter-Nya khas untuk kita semua - para Mu'min:

Atau siapakah yang memperkenankan (doa) orang yang dalam kesulitan apabila ia berdoa kepada-Nya, dan yang menghilangkan kesusahan...
(An-Naml 27:62)

Wallahualam...

May 22, 2009

Experimento de Amour

Dengan nama Allah yang jiwaku di tangan-Nya,
Selawat dan salam buat junjungan besar Muhammad saw beserta para pengikutnya,
Kita pohon perlindungan Allah daripada syaitan laknatullah.

Amaran keras kerajaan Kedah Tua : entri ini mungkin panjang berjela.. maklumlah, ala-ala lab report gitu... Maka, sila on kan suis hati dan suis ketekunan untuk bertahan hingga noktah terakhir... Kalau baca sekerat-sekerat, karang pemahaman songsang, kami di kun-rajulan tak nak bertanggungjawab! Harap maklum...

Radas-radas yang diperlukan untuk eksperimen :
sehelai kertas putih, 2 batang pen yang berbeza warna, jam randik

Langkah-langkah eksperimen
1) hamparkan sehelai kertas di atas permukaan yang selesa untuk anda menulis
2) selama beberapa minit (mengikut kesuka-hatian pengamal eksperimen), namakan perbuatan yang bila kita buat sahaja perbuatan itu, memang orang tak syak lagi anda memang Muslim. Untuk setiap satu amalan yang anda namakan, sila buat dot dengan pen warna sama.

Contoh : penggunaan pen warna pink cap Stabilo

3) sila analisa jawapan anda. Adakah jawapan anda anda meliputi jawapan-jawapan berikut?
- solat 5 waktu, haji, raya haji, puasa, raya puasa, khatan, sunat, wali, cerai, akad nikah, aqiqah, namakan anak dengan nama Islam, pi solat kat masjid, beli telekong, beli Quran, pakai tudung Ekin, gi kelas agama waktu petang, cukur jambul anak, khatam Quran dan bla2...
- Jika ya, tahniah! Anda berfikir dengan kadar normal.

4) sekarang, cuba pikiaq, awat anda tak senaraikan sikap saling-menasihati, saling mengajak kepada kebaikan, berbaik sangka, menghormati jiran, bertanggungjawab, sensible, considerate, dan lain-lain lagi? Bukankah itu juga amalan-amalan dalam Islam? Oleh sebab anda terlepas pandang akan amalan-amalan ini, kita kasi can. Sekarang, sila ambil pen/pensil warna yang warna lain dan buat 1 polka-dot untuk setiap jawapan anda.


Contoh: penggunaan pensil warna yang berwarna hijau lumut

Kesimpulan:
Eksperimen ini membuktikan bahawa umat Islam hari ini berfikiran sempit. Kita hanya melihat Islam sekadar polka-dot pink - bayar zakat, solat, tutup aurat bla2...

Q : Jadi, adakah lepas ni kita tak yah wat polka-dot pink?
A : Banyak lah cikadak ko! Solat fardhu, tutup aurat, zakat fitrah dan lain-lain lagi tu kan adalah amalan wajib dek oii! Kalau tak buat polka dot pink, memang terang-terangan salah lah! Dan, kalau buat polka dot PINK SAHAJA tanpa polka dot hijau juga salah! Dan, kalau buat polka-dot HIJAU SAHAJA tanpa polka dot pink juga salah!


Aplikasi dalam kehidupan:

1) Adegan I yang tak ingin kita lihat:
Seorang mak cik sebelah rumah kita, Cik Tipah (bukan nama sebenar) yang baru balik dari solat Asar + kelas mengaji di surau, sempat membrek kakinya lalu menjoin mesyuarat pintu pagar yang tengah dok mengumpat anak perempuan Cik Mah yang belajar medik di Moscow. Cik Tipah oi, tak nyempat-nyempat betul.. Telekung pun tak buka lagi (sebab dia pakai telekung atas je ulang-alik surau). Quran dengan buku tajwid tu ha elok je dia kendong bawak pi join mengumpat. Oh! ;(
rijal : ini contoh buat polka dot PINK SAHAJA tanpa polka dot hijau

2) Adegan II yang tak ingin kita lihat:
Ketika azan Isya' sedang berkumandang sayup-sayup di celah kesibukan ibu kota, seorang brader meneguk ayaq beralkohol di sebuah parti amal untuk mengumpul dana kanak-kanak autisme. 'IC gua tulis gua Islam dowh.. Memang kena prihatin dengan kanak-kanak malang. Biar orang kata gua tak macam Islam, tapi Tuhan itu Maha Mengetahui segala isi hati....' Oh! ;(
rijal : ini contoh buat polka dot HIJAU SAHAJA tanpa polka dot pink

Kesimpulan kepada kesimpulan:
Islam itu kan lengkap, molek, cantik dan menyeluruh. Kita sering sibuk melihat kepada hanya polka-dot pink, atau hanya polka dot hijau.. Tapi tidak untuk melihat gambaran menyeluruh.. The keyword is - see the whole picture, only then we know the true beauty of Islam. Jadi, mari zoom-out kan cara pandang kita terhadap deen ini! ;)

Moga kita semua terpimpin oleh Allah untuk mendekati-Nya dan hidup dengan sistem hidup yang dikehendaki-Nya - Islam. Insya-Allah.. Wallahualam.. <3

May 21, 2009

malu seorang melayu vs malu seorang Muslim

Demi Allah yang jiwa kita di tangan-Nya,
Selawat dan salam buat dai agung - Muhammad saw beserta para pengikutnya,
Kita mohon perlindungan Allah daripada syaitan yang sering mengindahkan dosa-dosa kita.

Mata gua yang hampir kering akibat menatap buku teks tebal dialihkan menghadap siling. Tiba-tiba, gua teringat opah gua di Sabak Bernam. Walaupun gua tahu dan yakin bahawa abah gua bukan anak feveret dia serta emak gua bukan menantu feveret dia (lalu gua secara automatisnya menjadi cucu bukan feveretnya); dia tetap opah gua yang terel masak pajeri nenas!

Opah mangsa keadaan yang kaya dengan adat resam, adab sopan Melayu. Jika berkelah di Hulu Yam dan sepupu gua hampir lemas, opah berkeras nak bawa pergi pulut kuning ke sana. Jika demam tak kebah-kebah, opah cari tali kasut nak buat rantai spesel. Jika sakit-sakit, adalah air khas yang gua kene tonggang.

Bagi opah, Islam itu ialah majlis berkhatan, akad nikah, pengurusan jenazah, puasa ramadhan, puasa sunat 6 di bulan Syawal, tahu arah kiblat, ada telekung-kopiah-sejadah dan khatam al-Qur'an SAHAJA. Gua tak salahkan opah sebab opah mangsa keadaan.

Seingat gua, sejak tadika, opah selalu pesan kat gua 'Jangan diikut jantan-jantan. Biar orang kata kita sombong. Biar... Malu kat orang kalau kita ni gatal. Jaga diri baik-baik. Kita ni perempuan'. Lebih kurang begitulah. Sampai gua jejak 20-an, opah masih bagi nasihat yang sama. Kalau gua buat muka bosan tak nak dengar, bukannya opah nampak sebab dia dah rabun kronik. Jadi, gua pun menggagahkan diri menjadi pendengar yang baik serta cucu yang solehah, walaupun gua bukan cucu feveretnya.

Tapi, gua telah mula lama memberontak dalam hati dengan nasihat orang Melayu jangan-buat-itu-ini-malu-kat-orang. Ah! Kita asyik-asyik didoktrin menjauhi perbuatan jelik sebab MALU-KAT-ORANG. Sungguh, malu itu sifat orang beriman. Tapi, kalau MALU-KAT-ORANG didahulukan lebih daripada MALU-KAT-ALLAH, apa kes??!! Kita diajar supaya malu akan makhluk-Nya LEBIH daripada malu akan-Nya. Tang ni, memang gua anti dengan sistem pendidikan tak formal di kalangan bangsa Melayu.

Mungkin gua dipengaruhi dendam-dendam dahulu akibat emak gua ditindas sebagai menantu-bukan-feveret dan abah gua sebagai anak-bukan-feveret, tapi hari itu, gua tak dapat menahan diri daripada melaserkan mulut ketika opah memberi pesanannya yang gua dah bosan dengar berbelas-belas tahun.

"Haah, opah.. Memang kena jaga diri.. Tapi, kena jaga SOLAT juga.. Kena jaga IMAN juga (bab IMAN ni, gua sendiri pun tak tau kalau opah paham ke tak definisi IMAN).."

Lepas tu, seingat gua, tiada lagi nasihat-nasihat seperti itu lagi.

Moral of the cerita rekaan:
Berdasarkan observasi persendirian, kita orang Melayu (yang Perlembagaan Malaysia definisikan sebagai beragama Islam) sering mementingkan malu-kepada-masyarakat lebih daripada malu kepada Allah. Juga, kita pentingkan amalan-amalan Islam yang dinampak orang seperti puasa, berkhatan, akad nikah dan lain-lain. Mentang-mentang solat boleh sorang-sorang, kita orang Melayu suka benar tak jaga solat. Dah lah tak jaga solat, dok sibuk isu menjaga (maruah) diri. Kalau solat pun hancus, yang lain pun automatiknya hancur. Walau apa pun adat dan ragamnya sesuatu masyarakat pada sesuatu ketika, neraca kita HANYALAH al-Quran dan Sunnah.

It's not all about 'what's in and what's not'.
It is always all about 'what's in the Quran & Sunnah and what's not'.
So, dare to go against the current??

Wallahualam....

May 18, 2009

Izin Ku Lepas

Dengan nama Allah yang menjadikan setiap makhluknya berpasang-pasangan,
Selawat dan salam buat kekasih-Nya yangg agung - Muhammad saw beserta para pengikutnya,
Kita pohon perlindungan Allah daripada syaitan yang sering mengindahkan dosa kita.

Dalam ria tingkah tawa,
Ada tangis menyirami luka.
Diam - aku terkesima,
Pada topeng itu yang ceria.

Pohonku pada Dia yang kaya Rahmah,
Andai kali ini kau rebah,
Biar rebahnya atas tikar sejadah.
Andai kali ini matamu basah,
Biar air matanya kerana taubah.
Andai kali ini jiwamu luka bernanah,
Biar lukanya dirawat nur hidayah.

Bagaimana bisa ku karangkan,
Kasihku buatmu tak sehebat cinta-Nya buat para hamba,
Maka, izin aku melepaskan
kau dalam hangat cinta-Nya.

Bagaimana bisa ku baitkan,
Kau tak layak untuk disakiti manusia,
Maka, izin aku melepaskan
kau dalam jagaan Dia.

Bagaimana lagi bisa ku lagukan,
Buatmu bukan derita tapi mesti bahagia,
Biar lukamu ini galang gantinya taman-taman,
Yang mana bisa kau temui Dia - cinta agung selama-lama!

(ImXAGN)

Wallahualam...

May 16, 2009

Mei - tragedi yang dirayakan

Dengan nama Allah yang jiwa kita berada dalam pengusaan-Nya,
Selawat dan salam buat junjungan agung, Muhammad saw beserta generasi para pengikutnya,
Kita pohon perlindungan Allah daripada syaitan lakanatullah.

nota kepala - 'dikencing' merupakan bahasa pasar bermaksud 'ditipu' atau 'diperdaya'.

Mei. Memang bulan pisau cukur.
Hari Ibu lah. Hari Guru lah. Hari-hari jadi lah.
Tapi, dalam mood of festivity ni, terkedulah pula aku.
Oh! Baru aku tahu!
15 Mei itu an-Nakba!

Apa barang ini an-Nakba?
Perlu beli hadiah kah?
Bolehkah sahaja yang murah-murah?

Wahai mangsa keadaan yang dikencing musuh sekalian!
Tak payah hadiah-hadiah! Ini tragedi lah!

Apa tragedi-tragedi ni?
Awie nyanyi Tragedi Oktober lah, bukan Tragedi Mei.

Wahai mangsa keadaan yang dikencing musuh sekalian!
Ini hari tanah air kita dijajah!
Ini hari Palestin diratah Yahudi laknatullah!
61 tahun dahulu, kita dihalau sehina sampah!

Apa kita-kita ni?
Passport aku passport Malaysia, bukan Palestin.

Wahai mangsa keadaan yang dikencing musuh sekalian!
Kita ini ummah Islam!
Tak dibatasi sempadan masa,
Hatta manusia pertama itu dan kita ini satu ummah!
Kita ini ummah Islam!
Tak dibatasi sempadan ruang,
Andalus, Algeria, Kashmir, Palestin - itu semua watan kita!

Apa watan-watan ni?
Cakap bahasa Melayu standard boleh tak?

Wahai mangsa keadaan yang dah dikencing musuh sekalian!
Watan itu literalnya tanah air!
Tapi, maknawinya tak sedangkal definisi literal!
Di mana ada Muslim, di situ tanah air kita!

Wahai mangsa keadaan yang dah dikencing musuh sekalian!
Persetankan sama garis sempadan pada peta-peta!
Persetankan sama pejabat imigresen!
Globalkan minda langkaui segala batasan kastam!
Nah, rasakan kau!
Sengsara dia dan mereka adalah sengsara aku, kau dan kita!

Apa tanda-tanda seru ni?
Lepak-lepak sudah,
Perang Gaza kan sudah tamat,
Boikot pun dah sampai tarikh luput.

Wahai mangsa keadaan yang dah dikencing musuh sekalian!
Tahukah kau adik Tingkatan 3 kau di sana ditahan penjara? (klik)
Tahukah kau semalam Pak Long kau ditibai Yahudi laknatullah?
Tahukah kau bagaimana kita dikencing, diratah musuh-musuh Allah? (klik)
Ah! Biarkan bicaraku bersulam tanda seru!
Dan kau, tolong lap mulutmu yang masih tersisa sos french fries McD mu itu!

Dalam kita merayakan segala hari dalam Mei ini,
Dalam lenguh tangan kita menekan SMS buat cikgu-cikgu,
Dalam lenguh kaki kita jelajah kedai-kedai hadiah,
Lenguh lagi mereka di sana!
Lenguh tangan mereka mengusung rumah sendiri yang hanya tinggal kunci, (klik)
Lenguh kaki mereka menapak berdemonstrasi, tapi dibantai dek tentera Yahudi. (klik)

Celakalah engkau hai Beitenu Menteri Pertahanan Yahudi!
Wartakan hukuman buat Muslim Palestin yang berani memperingati hari tragedi!
Sesuka hati 'penjara 3 tahun' buat mereka yang berjuang bebaskan tanah air sendiri! (klik)

Wallahualam....

May 15, 2009

ATTN : Moscow dilanda tengkujuh

Dengan nama Allah yang menghidupkan tanah kontang dengan turunnya hujan,
Selawat dan salam buat junjungan kita Muhammad saw beserta para pengikutnya,
Kita pohon perlindungan Allah daripada syaitan laknatullah.

Lagu tema:
Kalau dulu, lagu tema mungkin Umbrella nyanyian Rihanna ataupun terbaru versi Tomok dalam OIAM. Tapi sekarang, lagu tema tukar jadi Rain Song by Native Deen! =)

Payung:
Hujan hari-hari. Basah lencun hari-hari. Tapi masih ego tak nak beli payung. Payung kat Moscow dah lah tak lawa, mahal pulak tu - 500 rub, 450 rub, 350 rub. Oh! Bagi mereka yang belum bergelar tuan punya payung, sila senaraikan payung dalam things-to-pack bila cuti summer di Malaysia. Harap maklum.

Kehilangan:
Walaupun masih merupakan molekul H2O yang sama, hujan di Moscow lain dari yang turun di Rawang. Kalau di Rawang, ada bunyi katak, ada bunyi ummi riuh suruh angkut baju, ada cekodok panas dengan kopi, ada sembang-sembang gembira dengan keluarga. Di Moscow, binatang yang ada selepas hujan ialah cacing-cacing besar, panjang yang menggelikan... Alhamdulillah. =)

Periksa dan balik kampung:
Mungkin hujan yang turun merupakan manifestasi kemendungan banyak mental manusia yang perlu menghadapi peperiksaan akhir tahun. Tapi, hujan itu kan rahmat-Nya! Tak mati pun kalau tak lepas, tapi memang akan mati dan hidup semula (di akhirat nanti) dengan SEKSA kalau tak usaha semata-mata kerana-Nya. Maka, bersama kita tajdid (perbaharui) niat!

Main hujan:
Bila kali terakhir main hujan? Hmm.. 5th year MD, waktu pulang dari kelas? Form 5, belakang hostel? Darjah 5, tapi lepas tu kena marah kow-kow dengan ummi? Tadika 5 tahun, lepas tu terus demam? Tapi, memang gembira kan bila kena hujan?

".... lalu kau lihat hujan keluar dari celah-celahnya, maka apabila Dia menurunkannya kepada hamba-hamba-Nya yang Dia kehendaki tiba-tiba mereka bergembira."
(Ar-Ruum 30:48)

P/S : Dia sering punya cara untuk buatkan kita gembira, kan?! =)

Wallahualam...

May 9, 2009

Lagi-lagi cuti! =)


Dengan nama Allah pembentang langit penghampar bumi,
Selawat dan salam buat dai agung - Muhammad beserta pengikutnya,
Kita pohon perlindungan Allah daripada syaitan laknatullah.

27 April 1945:
Berlin terputus hubungan terus dengan dunia luar ekoran Battle of Berlin.

28 April 1945:
Hitler mendapat tahu orang kanannya, Himmler dalam usaha agar Jerman menyerah diri.

29 April 1945:
Hitler mendapat tahu comrade seaqidahnya dari Itali yang merupakan pendukung Fascism, Benito Mussolini telah dibunuh. Hitler membacakan wasiatnya kepada pengikut setianya. Berpesanlah dia bahawa dia lebih rela mati daripada menanggung malu kalah di tangan musuh.

30 April 1945:
Ketika tentera Soviet semakin menghampiri pusat pentadbiran Nazi, Hitler menembak mati dirinya sendiri bertempat di Fuhrerbunker (kediaman bawah tanah). Wanita simpanannya, Eva Braun turut ikut membunuh diri.

2 Mei 1945:
Berlin mengaku kalah.

2009 - 1945 = 64
64 tahun dahulu, Tentera Merah (The Red Army aka Bolshevik) - pendukung komunisme meluluh-lantakkan Empayar Ketiga German (The Third Reich) - pendukung Nazism. Dan, hari ini, Russia menyambut kemenangan mereka yang lalu itu.

Reichstag - bangunan Parlimen Jerman menjadi saksi pertembungan 2 isme dalam WWII dengan kemenangan berpihak kepada komunisme. Gambar - askar Tentera Merah mengibarkan bendera Bolshevik di atas Reichstag.

....dalam perjalanan dan perjuangan mereka (pejuang-pejuang isme bumi) yang sewenang-wenangnya itulah berlakunya pembunuhan dan pertumpahan darah, runtuhnya nilai-nilai dan tercetusnya huru-hara, kacau-bilau, kemudian pada akhirnya mereka pun hancur dan isme-isme bikinan mereka juga turut hancur di bawah pukulan tukul-tukul fitrah semulajadi yang tidak sanggup dipikul oleh isme-isme yang sewenang-wenangnya.
(Muqaddimah Tafsir Fi Zilail tulisan Syed Qutb)



Nazisme, Fascisme, Komunisme, Kapitalisme, Materialisme,
Itu semua isme bumi.

Islam,
Ini dari langit,
Yang bertunjangkan kalam-Nya.

Islam,
Inilah ad-deen - sistem hidup,
Selagi mana kau hidup,
Maka hanya dengan Islam hidup kau bahagia!
Maka hanya dengan Islam mati kau bahagia!
Maka hanya dengan Islam di sana kau bahagia!

Sesungguhnya deen (yang diridhai) disisi Allah hanyalah Islam...
(Ali Imran 3:19)

Barangsiapa mencari deen selain deen Islam,
maka sekali-kali tidaklah akan diterima (deen itu)daripadanya,
dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.

(Ali Imran 3:85)

Wallahualam....

May 6, 2009

Jangan biarkan aku lemas!

Dengan nama Allah pembentang langit penghampar bumi,
Salam dan selawat penuh cinta kasih buat junjungan mulia - Muhammad saw,
Kita pohon perlindungan Allah daripada bisikan syaitan laknatullah,
Moga ini adalah bicara hatiku buat hati-hati kamu,
Moga ini bisa menjanjikan sinar bahagia buat yang berduka.
(Khas buat F****)



Bukan aku orangnya jika ingin bicara
tentang mahabbah antara jiwa manusia,
Bukan juga aku orangnya jika ingin bicara
tentang mahabbah dengan Pencipta,
Tapi Dia tiada pernah diam bicara-Nya,
Melalui kalam-Nya, kita diajar hakikat cinta.


Dan, sungguh (al-Qur'an) ini diturunkan oleh Rabb seluruh alam,
yang dibawa turun oleh Ar-Ruhul Amin (Jibril),

ke dalam hatimu agar engkau termasuk
orang yang memberi peringatan.

(Asy-Syu'ara' 26:192-194)

Yang kutahu cuma - mahabbah sejati itu
tiada pernah menyakitkan,
Kerna mahabbah sejati itu
hakikatnya menyembuhkan,
Kerna mahabbah sejati itu
akarnya iman.

(yaitu) orang-orang yang beriman
dan
hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah.
Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah
hati menjadi tenteram.

(Ar-Ra'ad 13:28)

Yang kutahu cuma - mahabbah sejati itu
membara dengan rindu,
Walau tiada pernah kita ketemu,
Sentiasa Kau memerhatiku,
Dan, tiba masanya, pasti kan ku tatap nur-Mu,
Itu yang kupasti, itu yang kutahu.

Dan (dia berkata): "Hai kaumku,
aku tiada meminta
harta benda
kepada kamu (sebagai upah) bagi seruanku.
Upahku hanyalah dari Allah dan
aku sekali-kali tidak akan mengusir
orang-orang yang telah beriman.

Sesungguhnya mereka akan bertemu dengan Tuhannya,
akan tetapi aku memandangmu
suatu kaum yang tidak mengetahui."

(Al-Huud 11:29)

Yang kutahu cuma - mahabbah sejati itu
penuh getaran,
Kala nama Kau disebut
hati penuh debaran iman,
Saat itu, ingin sekaliku rebah
sujud padamu - Ya Rahman.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah
mereka yang bila disebut nama Allah
gemetarlah hati mereka,
dan apabila dibacakan ayat-ayatNya
bertambahlah iman mereka (karenanya),
dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal.
(Al-Anfal 8:2)

Yang kutahu cuma - mahabbah sejati itu
tiada terungkapkan,
Dia - sering aku, sering aku,
sering aku terlupakan,
Dan ucapan maaf
sering tiada kuungkapkan,
Tapi, Dia terus-terusan ar-Rahman.


Apabila orang-orang yang beriman kepada
ayat-ayat Kami itu datang kepadamu,
maka katakanlah: "Salaamun alaikum.
Tuhanmu telah menetapkan atas diri-Nya kasih sayang,
(yaitu) bahwasanya barang siapa yang berbuat kejahatan
di antara kamu lantaran kejahilan,
kemudian ia bertaubat setelah mengerjakannya
dan mengadakan perbaikan,
maka sesungguhnya
Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

(Al-An'aam 6:54)

Buat Dia,
Sering aku bergelumang dalam
hina dunia yang penuh rimas,
Tapi, aku ini takutkan An-Naar
yang membara panas,
Maka pintaku, jangan Kau biarkan aku lemas!

Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah,
ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi
dan mengampuni dosa-dosamu."

Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
(Ali Imran 3:31)


*ditulis sebelum mula me-lemas-kan diri dalam buku teks Biochem.. Jangan biarkan aku lemas gituh... =P lagipun nak masuk tang tajuk hormon nih, maka adalah kaitan dengan tulisan kali ini - tentang lonjakan hormon di peringkat awal kedewasaan gituh...*

P/S khas by rijal : Gua jiwang bertempat! Biar jiwang sama Allah! =)

Wallahualam.... <3

May 5, 2009

Kita Bukan Peterpan

Dengan nama Allah, yang jiwa kita berada dalam genggaman-Nya,
Selawat dan salam buat murabbi agung - Muhammad saw beserta para pengikutnya,
Kita pohon perlindungan Allah daripada syaitan laknatullah.

Dedikasi untuk semua orang yang dewasa dan bakal dewasa ;(


Ah! Sibuk kau!
Sibuk kau bergelumang dalam loji najis berjenama kedewasaan,
Sibuk kau dalam hiruk-pikuk bergegas ke tempat cari makan,
Sibuk kau menempik honmu dalam lalu lintas yang kesesakan,
Sibuk kau menghangguk kepalamu mengiya majikan,
Sibuk kau menggunungkan wang agar hujung tahun boleh ber'vacation' sakan,
Sibuk kau dalam penuhi syahwat sistem peranakan dan pencernaan,
Sibuk kau hantar dan kutip anak-anak dari sekolah dan taman asuhan,
Dan esok, berulanglah lagi kau punya kitaran,
Ini kau bilang kehidupan??!!
Ini kau bilang kebahagian??!!
Ini kau bilang keluarga idaman??!!

Ah!
Riuhmu berebut tidak mahu menjaga orang tua yang mautnya mendekat kian,
Walhal, merekalah yang membelamu sedari kau saiznya sekadar telapak tangan,
Inginkah kau anak-anakmu mengulang kembali kitaran yang kau ciptakan?!

Ah!
Lebat bicaramu konon kita mesti menyertai perjuangan,
Kencang langkahmu menuju surau, masjid ketemu jiran-jiran,
Tapi berantakan,
Anak bini terbiar tak tercelup dengan indahnya Sunnah dan agungnya Qur'an!

Ah!
Andai pasumu kami pecahkan,
Andai keretamu kami terguriskan,
Andai fail mayamu kami terdeletekan,
Kau bising, riuh, menggegak-gempita menggenggam rotan!
Yang kami rosakkan sekadar kebendaan,
Walhal yang kau rosakkan adalah amanah Tuhan kerana kami, anak-anakmu adalah Insan!
Punya jasad, hati dan rohani yang WAJIB kau bentukkan dengan sibghah Tuhan!

Ah!
Andai masa mudanya kita ditabrak indahnya tarbiyah dan perjuangan,
Jangan dewasanya kita terhenti tiada meneruskan,
Andai masa mudanya kita ditabrak indahnya mengejar pertemuan dengan Tuhan,
Jangan dewasanya melahapkan dunia dan takutkan kematian.

Ah!
Aku, kau, kita semua bukan dalam dongengan Peterpan,
Tak selamanya kekal bermain-main ria di taman mainan,
Tak selamanya darah remaja mendidih dengan semangat pemberontakan,
Masa terus berputar dan kita memang memacu menuju kuburan,
Yang muda kan dewasa, yang tua kian dekat pertemuan dengan Tuhan,
Biar mudanya, dewasanya hatta tuanya kita menghirup nafas perjuangan!

Ah!
Ini bukan perjuangan dangkal yang terkubur dengan terkuburnya kita!
Ini perjuangan yang untaiannya dari baginda saw dan pelapis-pelapisnya,
Ini perjuangan tauhid yang mulanya dari Adam as manusia pertama!

Kerna itu kepada anak-anakmu, yang diwariskan bukan harta dunia,
Tapi, kepada mereka Allah dan Rasul-Nya kau jadikan pusaka,
Laksana Abu Bakr As-Siddiq ra kala infaqnya mengejar pahala!

Wallahualam....

p/s : fuh! kebrutalan sungguh... =)

May 4, 2009

Big Girls Don't Cry

Dengan nama Allah yang jiwa kita berada dalam genggaman-Nya,
Selawat dan salam buat dai agung - Muhammad saw beserta para pengikut baginda,
Kita pohon perlindungan Allah daripada syaitan laknatullah.

Cerita yang belum bermula pun dipendekkan. Terbacalah oleh kita akan sebuah buku yang telah terperap lama di rak yang bertajuk - Self Serenity by Muhammad Musa Al-Shareef. Pabila terlihat akan kita kulit buku itu, maka terngiang-ngianglah akan lagu Big Girls Don't Cry dendangan Fergie sebab dalam lagu tu ada perkataan 'serenity'.... (Hek eleh! Tajuk sekadar gimik! =P )

Tersukalah akan kita kisah Perang Al-Ahzab (maksudnya : bersekutu or confederates) aka Perang Khandaq (maksudnya : parit or trench) yang diceritakan dalam buku itu. Bayangkan, hanya 5 tahun selepas Hijrah ke Madinah, Islam punya berkembang pesat sampai seantero tanah Arab sakit hati lalu bersekutu untuk cari gaduh sama kita. Lalu, kita pun menggali parit atas cadangan sahabat Rasulullah yang mulia berasal dari Parsi - Salman al-Farisi ra.


Lakaran kasar posisi parit, kota Madinah kita dan beberapa lagi landmark lain.

Rasulullah saw, selaku kekasih Allah dan pemimpim umat, tak goyang kaki ala-ala VIP gitu. Baginda turun padang sendiri untuk gali sama-sama parit pertahanan itu bersama-sama kita. Baginda kapak batu, sodok tanah dan angkut tanah! Mengikut pengalaman sendiri, kalau VIP, diorang lazimnya hanya sodok tanah waktu perasmian sahaja - Hari Bumi ke, taman pertanian ke, etc.. Oh!

Sambil menggali dalam kalut-kalut nak perang ni, para sahabat masih maintain self-serenity sambil mendendangkan lagu. Meng'quote' buku Self-Serenity, liriknya berbunyi begini:

Instead of Ju'ayl he dubbed him 'Umar,
The poor man's winter has turned summer.

Lirik lagu ini diinspirasikan daripada tindakan Rasulullah memanggil Ju'ayl dengan nama 'Umar sebab nama Ju'ayl tu kurang elok maknanya. (penulis pun tak pasti sendiri apa maksud nye)

Rasulullah pun pakat join nyanyi sekali. Siap menyanyi dengan style gitu.. Bila tiba perkataan akhir untuk setiap baris (iaitu 'Umar dan summer), Rasulullah repeat balik word itu. Hang boleh bayang tak??

Fuh.. sungguh kecumelan Rasulullah dan para sahabat ni. Waktu baca, teringatlah kita akan the 7 dwarfs dalam kartun Snow White yang dok menyanyi waktu kerja kat lombong. Ketika menulis entry ini, teringatlah pula akan kita filem musikal lama 'The Sound of Music'. =P

Kesimpulannya, siapa bilang Islam itu rigid, bengis lagi terroris? Kita ini hamba Allah yang ceria lagi optimis akan janji kemenangan-Nya. Kita juga adalah khalifah bumi yang adil - yang tahu bila mana perlu berkasar, dan bila mana harus berhalus lembut!

"Dan janganlah kamu berasa lemah, dan jangan bersedih, sebab kamu paling tinggi (darjatnya), JIKA KAMU ORANG BERIMAN"
(Ali-Imran 3:139)
Wallahualam...

May 3, 2009

aku bukan perompak!

Kita bersaksi bahawa tiada Ilah yang disembah melainkan Allah,
Kita bersaksi bahawa Muhammad pesuruh Allah.

Untuk lebih 'feel' bila membaca - [klik]

Ada perompak masuk rumah kita,
Sudahlah dirompak, dilabel perompak plak,
Bila melawan, satu taman dok kata,
Kitalah itu yang penyangak.

Dahulu bersama satu saf di masjid,
Tapi dialah yang mula-mula tak mau menolong,
Kita dirompak meringkuk dek sakit,
Dan perompak gembira terlolong-lolong.

Ini fi'il dunia akhir zaman,
Yang teraniaya dilabel penganiaya,
Dan penganiaya dihujani kasihan,
Dan yang teraniaya ditikam belakangnya.

Wallahualam....

Konvoi Harapan dari Eropah - [klik]
Oh! Bini Clinton yang sengal! - [klik]

May 2, 2009

Kto 'rijal'?

We bear witness that there is no Ilah but Allah,
We bear witness that Muhammad is His Messenger.

Who's rijal?
Let's ask the pakar to explain!
Please click [here].

Wallahualam...