Feb 27, 2009

Bintang (repost)

Lampu padam. Langit pekat hitam. Suasana tidak lagi kelam, suram, muram. Tiada lagi muka masam.

Dia senyum riang. Sebab dia suka bintang. Bila gelap, bintang terpampang terang.

Dulu-dulu, dia suka bintang kerana bintang terangi malam. Api pelita dan cahaya bulan bintang suluhkan baris-baris ABC untuk dia belajar mengeja. Dia sayang bintang kerana bintang beri cahaya.

Dulu, ustazah di sekolah bilang semua benda diberi Tuhan. Tuhan beri langit, bumi, siang, malam, bintang, bulan. Dia sayang Tuhan kerana beri bintang yang memberi cahaya.

Kini, dia tidak kisah akan pemberian atau penarikan. Bintang boleh terus berinya cahaya atau langsung padam. Tuhan boleh beri bintang yang terus menyala atau tarik nikmat bintang dengan jadikan bintang lubang hitam.

Kini dia tidak kisah akan pemberian atau penarikan. Sebab dia jumpa kecukupan dalam keber-Tuhan-an. Dia kini seorang yang merdeka imannya. Yang beriman dengan Tuhannya kerana Tuhan itu Tuhan, bukan sekadar Penentu Seksa, bukan sekadar Pemberi Pahala. Dia bukan lagi sekadar hamba yang takut akan seksa tuannya. Dia bukan lagi sekadar saudagar yang mengharap sebarang pemberian balasan. Dia kini pencinta Tuhan yang merdeka.

Namun, dia terus dan terus sukakan bintang. Kerana bintang ingatkannya akan kembara mencari ketulusan iman. Berbekalkan cahaya bintang, dia daki tangga Iman Saudagar, Iman Hamba & kini di puncak Iman Merdeka.

Denyutan kehangatan iman meresap ke seluruh pembuluh darahnya. Hati tak tertampung rasa syukur dan terharu akan nikmat iman. Air mata dia seka. Sejadah yang sejak tadi dalam pegangan dibentang. Tuhan, aku datang. Dan dia terus melampiaskan rindunya pada Tuhan di atas bentangan sejadah, dalam linangan air mata seorang mu’min akhir zaman, di bawah gemilang cahaya bintang-bintang.

Wallahualam..

No comments: