Jul 9, 2009

Rijal-nya Wanita Itu (part 1)

Dengan nama-Nya...

Beberapa jam yang lalu, peti TV di ruang tamu dipasang. Wanita Hari Ini. Slot hari ini - Tilam dan Bantal dengan tajuk - Bila Pasangan Hilang Ghairah. Bila iklan, promote produk ini itu. Konon menambah tenaga, membawa bahagia. Loya, aku tutup TV.

Benar, tiada terma lucah digunakan bagi membawa maksud the F-word, sebaliknya terma 'intimasi' lah, ini lah, itu lah. Benar, rancangan yang konon kewanitaan sangat-lah tuh klasifikasinya U, bukan 18SX. Benar, (walaupun tak menutup aurat) bagi definisi masyarakat berwabak wahan - tak seksi mana pun.

Tapi, aku dah naik jijik dengan semua ni. Apa isu-isu dangkal sebegitu je yang menjadi pusat kegusaran wanita Muslim Malaysia? Apa hal ehwal tilam dan bantal sahaja ke yang menjamin kebahagian dunia akhirat kaum isteri-ibu? Apa mereka fikir konon habis feminis, habis moden, habis urban lah kalau berdiskusi isu tilam dan bantal?

Kalau anak-anak bertanya 'mak makan ubat apa ni?', 'mak tengok rancangan apa ni?', 'intimasi tu apa mak?', 'kenapa nama dia Tilam dan Bantal mak?'. Nak jawab apa?

Muslimah Nusantara yang berminda dangkal kini memang ibarat matahari dengan galaksi Andromeda, kalau nak dibandingkan dengan Muslimah Nusantara dulu-dulu yang berpegang teguh pada ajaran Islam. Memang berjuta-juta tahun cahaya jaraknya!!!

*****

Ada dicatatkan bahawa ketika segerembolan tentera Belanda melanggar sebuah kampung di Acheh untuk menghambat mujahid-mujahid penghalau penjajah, mereka ternampak seorang Muslimah Acheh sedang menumbuk padi dengan penuh karisma, selamba dan cool.

Tentera penjajah yang bangsat itu pun bertanya sama ada di kampung itu ada laki-laki atau tidak. Muslimah itu masih menumbuk padi sambil menjawab dengan penuh gaya macho - "Tiada. Semua laki-laki keluar bermuslimun di hutan." (bermuslimun membawa maksud berjihad)

Tentera bangsat tak reti bahasa itu pun menggeledah kampung. Mereka terjumpa seorang lelaki penakut yang terketar-ketar sedang menyorok. Tentera bangsat segera naik berang kerana ditipu Muslimah tadi lalu segera menghambur wanita itu - "Habis tu, ini apa?". Sambil mengunjuk jantan keparat yang pengecut itu.

Muslimah yang cukup cool itu menjawab sambil menumbuk padi. "Bukan aku sudah bilang tadi. Semua laki-laki keluar bermuslimun di hutan. Yang ini bukan laki-laki."

*****

Untuk bacaan lanjut, sila dapatkan siri buku Jejak Risalah Islam di Nusantara karangan Dr. Hafidzi b. Mohd Noor. Siapa-siapa ada jumpa, sila maklumkan penulis. Nak kirim beli.

Wallahualam...

No comments: