Nov 4, 2008

memandang kubur

Assalamualaikum..

Tersebutlah al-kisah baru-baru ini aku terserempak dengan seorang pak cik (selepas ini hanya akan dirujuk sebagai pak cik D).

Pak cik D membebel bahawa kita perlu pandang ke setiap sudut untuk maju. Pandang atas, bawah, kiri, kanan, depan & belakang. Dalam erti kata lain, kita mesti terbuka untuk maju ke hadapan.

Aku me'rebel' bahawa sungguh kita perlu berpandangan terbuka. Tapi sesungguhnya pak cik D, aku merasakan manusia itu rabun mata hatinya. Ada batas pandangan pemikirannya. Makanya, pak cik, kita memerlukan kepada alat bantuan penglihatan, yang tak lain dan yang tak bukan, adalah 'spek mata' dalam bahasa pasarnya. Baru boleh nampak benda yang sangat jauh kalau Pak Cik D rabun jauh, atau sangat dekat kalau Pak cik D rabun dekat. Sekaligus, 'spek mata' ini dapat menapis habuk-habuk kotor dari memasuki mata kita yang lemah itu. Makanya, aku melihat bahawa 'spek mata' ini berupa al-Quran & as-Sunnah, tidak begitu Pak Cik ku?

Sebagai contoh mudah, katakanlah bahawa terdapat seorang si fulan ternampak seorang si fulanah berbetis gebu. Menggunakan 'spek mata'nya, si fulan dapat melihat lebih 'jauh'. Bukan melihat lebih jauh ke atas atau ke dalam betis fulanah di dunia ini, tapi melihat lebih jauh lagi iaitu betisnya sendiri yang terburai dibantai malaikat penjaga kubur di dalam kubur dan seterusnya, lebur melecur diratah-ratah panasnya api neraka di dalam neraka. Hal ini disebabkan oleh teringatnya si fulan akan amaran Allah dalam al-Quran terhadap mereka yang berbuat dosa serta perlunya kita menundukkan pandangan. Dengan secara tak langsung, si fulan cuba menundukkan pandangannya sekaligus mengelakkan habuk-habuk kotor pada betis si fulanah memasuki mata. Juga mengelakkan habuk-habuk kotor dosa dari memasuki mata hatinya lalu membentuk bintik-bintik hitam, yang tidak ubah seperti peparu seorang perokok yang dinodai titik-titik hitam karbon.

Makanya, aku melihat bahawa orang yang memandang paling jauh adalah orang yang paling BERPANDANGAN JAUH. Makanya, aku percaya bahawa alam kubur dan alam akhirat itu dalam perjalanan hidup seorang manusia datang selepas alam dunia. Makanya, dalam setiap masa aku perlu mengingati MATI, KUBUR & AKHIRAT untuk menjadi orang yang berpandangan jauh seperti saranan Pak Cik D! Bukan dengan setakat berpandangan jauh untuk mendapat kerja baik bla2, dapat pasangan hidup sah yang penyayang bla2, anak-anak yang comel bla2, bibi yang rajin bla2, kereta besar yang mengaum enjinnya bla2, gaji besar bla2, jawatan tinggi bla2, dan lain-lain lagi. Terima kasih Pak Cik D atas bebelanmu, kerana menyebabkan aku terfikir lalu tersedar.

Namun, sejauh-jauh maut, itulah benda yang paling dekat, pesan Imam Ghazali.

Semoga Pak Cik D, aku, si fulan dalam kisah tadi, si fulanah dan umat Nabi Muhammad s.a.w. seluruhnya BERPANDANGAN PALING JAUH dengan mengingati MATI, KUBUR & AKHIRAT. Moga kita sama-sama dapat bersama-sama menikmati sedapnya & indahnya aliran air-air sungai di syurga. InsyaAllah... :)

Wallahualam..
Indeed, Allah is the One who knows most..

No comments: