May 26, 2009

40 + 4

Dengan nama Allah tempat tuju cinta kita,
Selawat dan salam buat kekasih-Nya, Muhammad saw beserta para pengikutnya,
Kita pohon perlindungan Allah daripada syaitan laknatullah.

Aku adalah aku, yang mesti sentiasa berani untuk berdiri walaupun seorang diri, selagi mana diri ini bersama Dia di sisi.

Darah aku menyirap! Yang di situ berdengkur. Yang di sana merengek-rengek manja dengan teman berjantina lawan. Yang di sini ketawa terkekek-kekek sambil tangan temannya lekas merayap laksana lipas.

Darah aku menyirap! Kuambil manual hidup kompakku lalu bingkas berdiri dan melangkah mengharungi tolehan manusia yang memandang aku dengan nada seakan mengejek. Kalau aku adalah aku yang dulu, pasti ku beri jari tengah atau paling kurang, 'Apa hal pandang-pandang?! Ada masalah?!'.

"Pak cik! Dah nak syuru' ni. Saya nak solat subuh ni. Ni dah masuk 7 kali saya minta pak cik berhenti ni.."

Aku cuba mengawal intonasi agar masih dalam skop kesopanan. Pemandu bas bermuka Melayu dan berperut boroi itu sekadar merengus marah dan membuat muka toya. Penumpang lain masih diulit dengkur dan tawa rengek manja.

Pergh!!! Aku menyirap!!!

Mahu sahaja aku pekikkan pada semua 'Hoi, nak masuk neraka kah?!'. Tapi, tak berhikmah pula. Terpaksa aku mengeluarkan senjata terakhir yang aku persiapkan ketika di tempat dudukku tadi.

Bismillah kubisikkan dalam hati, mohon izin pada-Nya agar benarlah tindakanku ini. Kali terakhir aku berbuat begini adalah ketika Darjah 3 sekolah agama petang.

Menurut perkiraanku, inilah masanya. Aku tarik nafas dalam-dalam, lebih dalam daripada Tok Batin yang ingin menyumpit babi hutan liar tatkala keluar berburu. Dalam geram penuh dendam, aku lepaskan segala-galanya sekuat rasa penuh tenaga! Nah! Rasakan kau!

"Yaasin! Walquranil hakiim!..... "

Tiada lagi dengkur rengek tawa manja para penumpang. Seisi bas termasuk si boroi toya itu kaget dengan kelantanganku melantunkan surah Yaasin yang sering dilagukan untuk menghantar jenazah atau menghalau hantu.

Jelas pada cermin depan bas, selekoh menuju ke R&R. Segera, si boroi toya membelok.

Lazimnya dari 44 orang penumpang, 40 akan pergi bersarapan dan hanya 4 ke surau. Tapi, pagi itu, di tempat mengambil wudhu' wanita sahaja, aku terpaksa beratur dan muka-muka yang basah diwudhukan itu, semua tak sanggup pandang muka aku. Eleh... Ingat aku tak cam ke?!

Moral of the story : Sila berhati-hati ketika naik bas ekspres di Malaysia nanti. Anda adalah Mu'min akhir zaman yang punya hak untuk tunaikan kewajipan solat! Bersama mempertahankan hak kita! Garang BERTEMPAT adalah akhlak mulia! Harap maklum...

Wallahualam...

2 comments:

~Тепак Сирех~ said...

hahha..cantiklah Iman;)

miszwanee said...

salam...alhamdulillah w/pon sy slalu ulang alik KL-Kelantan xpnh ag mengalami kejadian sebegitu...
tp benda2 cmni sgt la possible ntk berlaku pd ms akn dtg..semoga diberi kekuatan untuk deal dgn situasi begini..